Thursday, July 21, 2011


Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan) merupakan salah satu daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.[1] Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Negeri ini mengamalkan sistem raja perlembagaan sejak turun-termurun, dan sekarang di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Semenjak 10 Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) telah mengambil alih negeri ini daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN). Menteri Besar ketika ini adalah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebahagian daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam dan merupakan bandar raya pertama di negeri ini. Bandar diraja negeri ini ialah Klang. Bandar utama yang lain ialah Petaling Jaya, yang mendapat status sebagai bandar raya kedua di negeri ini pada 20 Jun 2006. Selangor adalah satu daripada dua negeri yang mempunyai lebih daripada satu bandar raya, selain Sarawak. Selangor juga mempunyai bandar yang terbanyak di Malaysia, ini berikutan pembangunan pesat akibat daripada kemodenan di Lembah Klang.

Selangor juga merupakan negeri yang terkaya di Malaysia, berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita. Negeri ini merupakan negeri yang termaju di Malaysia dengan mempunyai infrastruktur yang terbaik seperti lebuhraya dan pengangkutan awam. Bilangan penduduk di negeri ini juga, merupakan yang terbanyak di Malaysia dengan kualiti hidup yang tinggi dan kadar kemiskinan negeri yang terendah di Malaysia.